SESUNGGUHNYA HIDUPKU DAN MATIKU KERANA ALLAH S.W.T

Monday, 18 January 2016

BERFIKIR HOLISTIK

Oleh DR. SIDEK BABA

KEHIDUPAN manusia berjalan dalam bentuk sistem. Pada sistem terdapat pula sub-sistem. Pancaindera yang Allah jadikan mempunyai peranan masing-masing. Antara satu dengan lainya saling berkaitan.

Apa yang dilihat, didengar, dihidu, dirasa dan disentuh berkaitan antara satu dengan lain. Dalam diri manusia terdapat akal, hati, nurani dan jasad. Antara satu dengan yang lainnya saling memerlukan. Tanpa salah satu darinya manusia akan jadi pincang.

Kalau diibaratkan tubuh badan, seluruh anggota adalah berkaitan antara satu dengan lain. Sakit salah satu anggota kesannya akan dirasakan oleh seluruh tubuh badan. Hidup juga diibaratkan seperti sebuah kereta. Setiap bahagiannya mempunyai kepentingan dengan yang lain. Sekiranya tayar kereta pecah, kereta tidak boleh berjalan. Oleh itu setiap bahagian darinya adalah saling memerlukan malah saling bergantungan.

Berfikir holistik bermakna berfikir secara menyeluruh. Berfikir secara menyeluruh tidak menyempitkan seseorang dengan hanya melihat satu faktor sebagai sebab terjadi sesuatu. Atau mendapati satu data saja untuk membuat sesuatu kesimpulan. Berfikir holistik membawa kita meneliti, mengkaji dan membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara atau isu berasaskan maklumat dan fakta yang lebih banyak dan menyeluruh.

Ia mampu membimbing seseorang berfikir dengan betul, mencari pendekatan yang tepat dan menghasilkan natijah yang lebih sempurna.

Tradisi Islam adalah tradisi yang holistik. Konsep jemaah membayangkan wujudnya penyertaan yang lebih ramai untuk membina rasa persaudaraan dan ikatan yang lebih kukuh. Pepatah Melayu juga menyebutkan tentang ‘cubit paha kiri, paha kanan terasa’, ‘ibarat aur dengan tebing’, ‘tepuk sebelah tangan tak kan berbunyi’. Semua ini adalah gambaran pentingnya faktor holistik menjadi pedoman kehidupan.
Remaja Islam amat dituntut berfikir secara holistik. Cabaran faham individualisme, kebendaan, hedonisme (berfoya-foya) yang sedang berkembang pada hari ini adalah cabaran terbesar yang sedang mendepani remaja. Para remaja adalah kelompok yang mudah terpengaruh kerana faktor hiburan, kesukaan, berfoya-foya adalah amat semasa dengan jiwa dan emosi remaja. Tanpa berfikir holistik tentang akibat, jalur perjuangan, ketirisan budaya, hilangnya peribadi dan integriti diri, para remaja akan mudah terjebak dengan perangkap kebebasan, hiburan dan tarikan duniawi yang boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa terhadap tarikan realiti.

Berfikir holistik bagi remaja tidak semestinya menolak keperluan hiburan, lagu dan juga menikmati kebebasan sebagai remaja. Sebelum melakukan sesuatu, remaja berfikir panjang terlebih dulu tentang baik-buruk dan akibat yang berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan. Sebelum belajar merokok umpamanya, remaja berfikir tentang akibat jangka panjang amalan tersebut terutama tabiat ketagihan yang terlalu sukar untuk di kikis nantinya. Kemudian mengaitkan rokok dengan amalan sesetengah remaja dengan salahguna dadah.
Ia dikaitkan pula dengan kebebasan percampuran lelaki dan perempuan. Kemudian terjebak dengan amalan seks rambang. Kemudian terjebak dengan penyakit AIDS/HIV atau terperangkap di Pusat Serenti dan kemudian bila terlantar di ranjang hospital, perasaan menyesal yang amat sangat mula timbul. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Ibarat nasi sudah menjadi bubur tidak mungkin bertukar menjadi beras semula.

Potensi

Berfikir holistik tidak saja memberi keinsafan kepada remaja tentang pentingnya kekuatan diri dijaga tetapi memikirkan bagaimana potensi diri dapat dibangunkan. Remaja yang insaf tentang untung nasib bangsa dan umatnya akan sentiasa merasakan hidup ini adalah perjuangan. Perjuangan terhadap memajukan bangsa dan umat masih belum selesai. Oleh itu, mensia-siakan zaman remaja dengan amalan yang merosakkan bermakna menambah lagi beban negara dengan masalah sosial yang parah dan menyebabkan potensi yang baik tidak dibangunkan sebaliknya di peringkat awal umur lagi potensi ini telah dirosakkan disebabkan rangsangan berfikir dan membuat keputusan cara ikut-ikutan dan didorong oleh hawa nafsu keremajaan yang tidak terkawal.

Pendekatan yang sering diambil oleh kita dalam menghadapi sesuatu masalah ialah seperti kata pepatah, ‘sudah terhantuk baru terngadah’ bermakna sudah terkena baru ingat. Selalunya pendekatan yang berlaku dalam kalangan sesetengah remaja ialah buat dulu kemudian menyesal. Berfikir holistik ialah fikirkan dulu baru buat maka tidak timbul penyesalan di kemudian hari.
Lihat saja masalah salahguna dadah ,AIDS/HIV yang sedang berlaku dengan dahsyatnya sekarang amat memerlukan pemikiran yang holistik.

Menawarkan penagih tegar kondom, jarum dan metadon tidak boleh menyelesaikan masalah yang berbangkit. Ia mungkin boleh mengawal penggunaan secara sistematik tetapi tidak ada jaminan ia boleh mengatasi masalah yang berbangkit secara berkesan.
Berfikir secara holistik boleh membawa kita berfikir mengenai dua perkara. Pertama, mengenal pasti akar sebab (root-causes) terhadap amalan ini. Kedua, mencari pendekatan terbaik mengatasinya secara jangka pendek dan juga secara jangka panjang. Akar-sebab utama terhadap amalan salahguna dadah berakibat kerosakan cara berfikir, cara meniru yang berlaku di kalangan remaja. Pemikiran remaja telah rosak atau dirosakkan oleh faktor rakan sebaya dan faktor persekitarannya yang amat kuat merangsang ketirisan peribadi dan harga diri. Ia berkait langsung dengan masalah kemuflisan akhlak yang berlaku dalam kalangan remaja.

Berfikir holistik tidak saja melihat akar sebab terjadinya sesuatu itu tetapi mengambil pendekatan bagaimana sesuatu itu dapat diatasi dengan bijaksana dan secara fitrah.

Dalam tradisi Islam pendekatan pencegahan lebih baik daripada mengubati menjadi kaedah yang terbaik dalam membentuk akhlak manusia. Seorang anak yang baru lahir sehingga berumur 12 tahun diberi suntikan kekebalan (imunisasi) supaya tidak dijangkiti penyakit. Ini bermakna langkah pencegahan diambil terlebih dahulu sebelum virus atau penyakit menyerang. Ternyata pendekatan ini mendatangkan kesan.

Tetapi betapa tentang kekebalan minda dan pemikiran anak-anak. Apakah zaman sebelum akil baligh tidak perlu disuntikkan kekebalan yang berbentuk didikan, asuhan, belaian dan kasih sayang supaya anak-anak menjadi remaja secara fitrah, terhindar dari jangkitan virus minda dan pemikiran yang merosakkan. Atau kalau didekati dengan virus minda pun kekebalan akal dan pemikirannya, mampu menjadikan remaja berfikir holistik tentang baik-buruk sesuatu. Apakah zaman menjelang remaja anak-anak tidak perlu dibekalkan dengan kecelikan dan kecerdasan emosi supaya apabila emosinya stabil membolehkan virus emosi dihadapi dengan bijaksana.

Fokus pendidikan Islam sentiasa menekankan kepentingan akhlak dibina. Anak-anak yang sejak kecilnya dibina dengan nilai adab, hormat, malu, sayang dan penyantun bakal menjadi anak-anak yang berbudi. Faktor ini apabila ditambah dengan binaan pemikiran yang sihat berasaskan ilmu yang fitrah sifatnya bakal menjadikan anak-anak yang stabil pemikiran, emosi dan amalannya.

Berfikir holistik dalam konteks pendidikan anak-anak memerlukan langkah pemerkasaan diri tidak saja dengan contoh peribadi teladan tetapi dengan nilai-nilai cemerlang dalam ilmu, keterampilan dan juga amalan.

Berfikir holistik boleh memimpin remaja menjadi orang yang berpandangan jauh, tidak gopoh dalam membuat penilaian dan keputusan, tidak berfikir secara serpihan tetapi melihat sesuatu secara totaliti atau menyeluruh, berfikir secara futuristik dan diimbangi dengan maklumat, data dan fakta yang lebih seimbang. Berfikir secara holistik tidak saja menjadikan remaja seorang yang berhemah tetapi memiliki kualiti sebagai pemimpin masa depan kerana jenis cabaran pada masa depan adalah jauh lebih canggih.

Pembiasaan terhadap pemikiran holistik sejak awal umur boleh memberi kesan baik terhadap remaja kerana apabila menempuh alam dewasa dan menerima tanggungjawab yang pelbagai, berfikir secara holistik boleh memandu seseorang saksama, strategik dan bijaksana dalam mendepani masalah dan menyelesaikannya.

No comments:

Post a Comment