SESUNGGUHNYA HIDUPKU DAN MATIKU KERANA ALLAH S.W.T

Thursday 17 May 2012

TEKS UCAPAN YAB TPM @ MENTERI PELAJARAN SEMPENA HARI GURU 2012 (GURU INOVASI)

GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI
Saudara dan saudari yang saya hormati,

Dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi
berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti
adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa
yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru
berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid
dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis,
kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam
konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi
akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai.
Ketika berada di dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan
sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, tetapi
sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah dan
pendekatan baru yang lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran
dicapai.

 Selanjutnya, seorang guru berinovasi juga akan memberi tumpuan
kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir
dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi ialah untuk memastikan
murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan
semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk membolehkan
mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud,
guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran
paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk
mengasah kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya
menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil
langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka
dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.

 Ini bermakna, guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan
apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah
keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah
mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk
itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan cara
untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya
menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia. Sekiranya
semua guru di negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita
untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan
berketrampilan akan tercapai.

No comments:

Post a Comment