Studio 1 IKIMfm Langgak Tunku, 14 Jan 2012 - Pelajar Cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah binti Nik Mohamad Kamal yang telah mengejutkan negara dengan kejayaannya meraih 20A dalam peperiksaan tersebut berpendapat bahawa resepi kejayaan beliau adalah kerana menjaga hubungannya dengan Allah, dengan manusia dan usaha. Beliau berpesan kepada semua pelajar Islam supaya menjaga hubungan dengan Allah dan tidak bergantung sepenuhnya kepada usaha sendiri. "Siapakah yang memberi kejayaan itu kalau bukan Allah Taala, kalau kita tidak menjaga hubungan dengan Allah bagaimana kita boleh mengharapkan Allah memberi kita kejayaan?. Jika diperintahkan Solat pun kita tidak solat. Allah memainkan peranan yang penting dalam hidup kita, ujar beliau. Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan amalan ibadat sunat yang beliau laksanakan kerana beliau bimbang akan timbul bisikan Iblis dan perasaan riak.
"Jika dinilai dari segi usaha saya, sebenarnya saya tidak layak untuk mengecapi kejayaan ini, mungkin ini kerana keberkatan dan keikhlasan saya kerana Allah dan untuk memberikan kebahagiaan kepada kedua ibubapa saya, tambah beliau lagi. Selain dari itu, pengurusan masa amat penting untuk seorang pelajar.
Nik Madihah yang diwawancara oleh Dj Latifah Abdul Aziz itu turut ditemani oleh ibubapanya, En Nik Mohamad Kamal dan Puan Mariani Omar. Wawancara yang berlangsung selama sekitar sejam bermula dari jam 3 petang dalam segmen khas Alam Ria Si Kecil itu telah mendapat sambutan yang luar biasa dari para pendengar. Komen di facebook IKIM.fm juga mencatatkan sejarah tertinggi melebih 140 komen dengan lebih 700 menyukainya.
Nik Nur Madihah pada awalnya enggan untuk ditemubual kerana tidak gemar dengan publisiti yang diberikan disebabkan beliau merasakan belum berjaya sepenuhnya lagi. Namun akhirnya beliau bersetuju untuk sekadar perkongsian dengan adik-adik pelajar dan memberi semangat agar pelajar Islam turut berjaya cemerlang dalam peperiksaan dalam masa yang sama mengekalkan hubungan baik dengan Allah Taala.Temubual eksklusif ini telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama penajaan dari Ar-Raihan Food Industries yang membantu menerbangkan kedua ibubapa Nik Nur Madihah dari Kelantan.
Madihah pada ketika ini sedang menjalani persediaan untuk menduduki Peperiksaan A Levels di Kolej Tuanku Jaafar sebelum berlepas ke United Kingdom untuk meneruskan pengajiaannya di bidang Fizik. Beliau di bawah penajaan biasiswa Bank Negara Malaysia (BNM). Pelajar yang berpegang kepada prinsip "usaha tanpa tawakkal itu sombong, tawakkal tanpa usaha itu angan kosong" mengakhiri temubual dengan penuh kerendahan diri memohon maaf atas segala kesilapan beliau kerana beliau adalah insan biasa yang masih banyak kelemahan.
Atas permintaan ramai, pihak IKIMfm akan mengulangsiar temubual ini sedikit masa lagi, insya Allah.~IKIMfm
Written by Administrator (NRAS) | |
Thursday, 12 January 2012 15:08 | |
Pelajar Cemerlang SPM 2008 , Nik Nur Madihah di IKIMfm Sabtu 14 Jan @ 3 petang Studio IKIMfm, insya Allah bakal dikunjungi oleh adik Nik Nur Madihah pada Sabtu 14 Januari 2012 jam 3 petang. Beliau yang lebih gemar bersikap low profile akhirnya bersetuju untuk hadir ditemubual oleh DJ Latifah Abdul Aziz pada jam 3 petang bagi berkongsi pengalaman kejayaannya. Beliau dijangka akan turut ditemani oleh ayahnya Encik Nik Mohd. Kamal Hussein. Kejayaan beliau mendapat 20A dalam peperiksaan SPM pada tahun 2008 telah mengagumkan semua pihak lebih-lebih lagi menyedari beliau dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan kedhaifan kerana ayahnya hanya bekerja sebagai seorang nelayan. Encik Nik Mohd Kamal pula dijangka akan berkongsi pandangan beliau bagaimana untuk melahirkan anak yang berjaya dalam bidang akademik dalam masa yang sama terbaik dalam akhlak dan sahsiah. Program ini amat bermanfaat untuk para ibubapa dan juga anak-anak. Untuk mengetahui lanjut berhubung dengah rahsia kejayaan beliau, jangan lepaskan peluang bersama dengan IKIMfm jam 3 petang Sabtu 14 Januari 2012, insya ALlah. ~IKIMfm. |
No comments:
Post a Comment